fb fb fb fb fb

Dua beranak antara tiga maut dalam nahas jalan raya di Jerantut

FOTO HIASAN

KUANTAN, 9 Jun- Tiga individu maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di KM18 Jalan Jerantut-Maran petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Zukri Muhammad menerusi satu kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang.

"Kereta dinaiki tiga sekeluarga yang dalam perjalanan dari Jengka menghala ke Jerantut itu bertembung dengan sebuah lagi kereta dari arah Jerantut menghala ke Felda Gelanggi 2.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta dari arah Jerantut itu dipercayai secara tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta tiga sekeluarga tersebut,” katanya.

Beliau berkata akibat kemalangan itu Nur Harina Fatihah Syaifol Bahari, 21, maut di lokasi kejadian manakala ibunya Norazlina Ismail, 44, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jerantut.

Pemandu, Syaifol Bahari Idris, 50, mengalami kecederaan di bahagian lutut dan badan.

Sementara pemandu sebuah lagi kenderaan, Suhaimi Abd Rahman, 42, juga meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jerantut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE