fb fb fb fb fb

DSA NATSEC 2024: Orang ramai berpeluang sertai operasi Maritim Malaysia guna VR

Reruai Maritim Malaysia turut membawakan beberapa model kapal termasuk replika Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) iaitu Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah/Foto Maritim Malaysia

KUALA LUMPUR, 5 Mei - Pengunjung reruai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman sebagai anggota penguat kuasa Maritim dalam melaksanakan operasi penguatkuasaaan di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 bermula 6 hingga 9 Mei nanti.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata untuk penyertaan kali ke tiga DSA NATSEC, Maritim Malaysia bakal menampilkan konsep infotainment atau maklumat hibur pengoperasian Agensi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC).

"Pengunjung dapat merasai operasi penguatkuasaan di atas bot seperti 'force boarding' serta operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) dari udara menggunakan kaedah 'winching' melalui penggunaan 'virtual reality' (VR).

"Sempena pameran kali ini Maritim Malaysia turut membawakan beberapa model kapal termasuk replika Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) iaitu Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah yang mula beroperasi pada awal tahun ini selain aset udara untuk dipertontonkan secara terus kepada pengunjung yang berada di MITEC," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan tinjauan persiapan akhir reruai Maritim Malaysia di MiTEC hari ini.

0505 MARITIM MITEC
Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk
Saiful Lizan Ibrahim (kiri) ketika meninjau persiapan akhir  reruai Maritim Malaysia di MiTEC hari ini.

Turut hadir sama Pengarah Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa Maritim Malaysia, Kepten Maritim Mohd Shah Rulashari Ahmad Omar.

Dalam pada itu Datuk Saiful turut menjangkakan reruai Maritim Malaysia bakal menarik perhatian pengunjung dengan penampilan pegawai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team).

"STAR Team akan memakai pakaian Army Combat Uniform (ICU) dan Black Multicam bersama-sama senjata jenis rifle HK 416, HK UMP dan pistol HK SFP9 SF di samping juruterbang pesawat Maritim Malaysia yang berpakaian lengkap untuk tugasan penerbangan serta pegawai Maritim Malaysia dalam pakaian lengkap untuk operasi di perairan negara," katanya.

Terdahulu beliau memaklumkan penyertaan Maritim Malaysia sempena DSA NATSEC 2024 adalah bagi mempamerkan keupayaan teknologi keselamatan Agensi serta kesiagaan Malaysia dalam aspek keselamatan maritim dan operasi CARILAMAT serta memberi peluang kepada organisasi untuk membina hubungan dengan organisasi lain dalam industri.

GRACE AISYAH KEDAYAN