fb fb fb fb fb

DSA, NatSec 2024 meterai perjanjian lebih RM9 bilion

DSA dan NatSec Asia 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC)

KUALA LUMPUR, 9 Mei- Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara (NatSec) Asia 2024 melabuhkan tirai hari ini, mencatatkan kejayaan besar dengan pemeteraian pelbagai memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian dua hala bernilai lebih RM9 bilion.

Sepanjang pameran empat hari itu, ia juga menerima penyertaan penting daripada Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di samping syarikat tempatan dan antarabangsa.

Mindef menandatangani 40 perjanjian bernilai RM7.3 bilion termasuk tujuh kontrak (RM1.90 bilion), 10 MoU (RM280 juta) dan 17 surat setuju terima (LOA) bernilai RM3.30 bilion.

Selain itu, empat surat hasrat (LOI) turut ditandatangani, berjumlah RM1.83 bilion, bersama-sama dua sijil Sistem Integriti Korporat Malaysia.

Acara dwitahunan itu merupakan salah satu pameran pertahanan dan keselamatan terulung dunia menyaksikan kejayaan dan penyertaan yang belum pernah berlaku sekali gus menandakan satu kejayaan baharu dalam sejarah penganjurannya.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan DSA dan NATSEC Asia 2024 menunjukkan hubungan kerjasama pertahanan antarabangsa.

"Dalam memastikan kerjasama pertahanan yang berkesan, perkongsian antarabangsa yang boleh dipercayai ini mesti diteruskan secara berterusan.

"Untuk itu, tadbir urus yang baik dan amanah mesti menjadi asas kepada penglibatan yang sihat ini," katanya kepada pemberita di sini.

DSA dilihat memberi impak ekonomi negara sekali gus mengukuhkan keupayaan pertahanan dan kerjasama serantau.

Sementara itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memuji pameran berkenaan berupaya menjadi asas dialog dan kerjasama keselamatan global.

"Acara-acara ini telah membuktikan ia sebagai platform penting bagi penyelesaian dunia sebenar untuk mendepani cabaran keselamatan global, serantau dan tempatan supaya ia boleh ditangani," katanya.

Penglibatan proaktif dan perbincangan strategik mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan keselamatan serantau termasuk keamanan dan kestabilan merentas sempadan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI