fb fb fb fb fb

DSA dan NATSEC terbuka kepada semua, tidak memihak mana-mana negara atau syarikat

Datuk Seri Khaled berucap pada Seminar Keselamatan Negara Antarabangsa 2024 di MITEC, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 7 Mei- Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 tidak memihak atau memberi kelebihan kepada mana-mana negara atau syarikat tertentu.

Sebaliknya pameran tersebut dibuka kepada semua negara dan pemain industri termasuk penyertaan besar dari negara-negara Islam seperti Turkiye, Indonesia, Iran dan Pakistan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia adalah sebuah negara perdagangan bebas yang memberi ruang kepada semua pemain industri global untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di Malaysia.

"Pendirian kita mengenai Palestin dan juga Gaza, juga kita sebagai sebuah negara yang mempunyai prinsip kebebasan berniaga, semua tu juga perlu dijaga.

"Dalam mana-mana syarikat kita perlu lihat yang terbaik kerana satu kita mahu pastikan kesiapsiagaan dan semua yang terbaik kepada angkatan tentera,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas ucaptama Seminar Keselamatan Negara Antarabangsa 2024 di MITEC, Kuala Lumpur.

Terdahulu, melalui kenyataan, Datuk Seri Khaled Nordin menyatakan, Kementerian Pertahanan mengambil maklum terdapat desakan segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan penyertaan beberapa syarikat pertahanan global dalam pameran DSA dan NATSEC.

Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa dasar perolehan pertahanan negara dilaksanakan dengan mengambil kira kemajuan teknologi mutakhir, keperluan strategik negara, kos sesuai nilai, kepentingan nasional dan pendirian politik global Malaysia.

Tiada perolehan pertahanan yang akan dilaksanakan tanpa mengambil kira pendirian global Malaysia terutama dalam konflik Palestin-Israel serta kepentingan kebangsaan Malaysia.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE