fb fb fb fb fb

Dr Syed Muhammad Naquib dikurnia gelaran profesor diraja

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Oktober-Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan watikah pelantikan profesor diraja kepada tokoh intelek Islam Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Istana Negara hari ini. 

Syed Muhammad Naquib penerima kedua gelaran profesor diraja selepas Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid. 

Syed Muhammad Naquib merupakan pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) dan juga tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari yang amat disegani serta dihormati di dalam dan luar negara.  

Beliau merupakan individu yang memperkenalkan gagasan Islamisasi ilmu yang diterapkan dalam pelbagai cabang pengetahuan merangkumi pendidikan agama, sejarah, falsafah, teologi, metafizik, filologi, semantik, sastera dan seni. 

Profesor diraja gelaran tertinggi dianugerahkan kepada ahli akademik oleh Yang di-Pertuan Agong atas sumbangan bernilai kepada masyarakat serta kemajuan Malaysia. 

Turut hadir menyaksikan majlis watikah pelantikan itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD