fb fb fb fb fb

DPN 2.0 lebih holistik berlandaskan tiga teras utama

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohd Armizan Ali

PUTRAJAYA, 20 Februari - Dasar Pengguna Negara (DPN) 2.0 yang akan dilancar pada suku ketiga tahun ini bersifat lebih holistik.

Ini setelah mengambil kira situasi perkembangan ekonomi, tuntutan semasa dan keperluan agenda kepenggunaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohd Armizan Ali berkata DPN 2.0 yang akan dilancarkan itu berlandaskan tiga teras utama iaitu penyertaan rakyat, perundangan dan penguatkuasaan serta pendidikan nilai kepenggunaan.

Beliau berkata, DPN 2.0 akan dilancarkan bersama Pelan Tindakan Kepenggunaan 2030 (PTK 2030).

"Kita ingin melihat juga melalui DPN ini teras kita agenda kita dalam penggunaan ini kita dapat anjakan dalam bentuk agenda selama ini yang lebih bersifat perlindungan pengguna kepada daya tahan pengguna.

"Jadi bukan hanya dalam bentuk melindungi tetapi kita ingin mewujudkan pengguna yang mempunyai daya tahan untuk memastikan impak kepada program dan juga sebarang bentuk dasar yang kita laksanakan itu memberi nilai dan makna kepada pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi Libat Urus Prakarsa Pendayaupayaan Penggunaa (3P-KPDN), di sini.

Dalam perkembangan lain, Armizan berkata KPDN sedia menyiasat isu kewujudan kartel beras sekiranya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFI) berkongsi maklumat berkenaan isu tersebut .

Beliau berkata, siasatan boleh dilakukan menerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

"Kawal selia berkaitan industri padi dan beras ini terletak di bawah MAFI. Ada isu-isu yang disebut tentang kartel beras, jadi di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya MyCC.

"Kita terbuka sekiranya MAFI mempunyai maklumat pihak-pihak tertentu mencari maklumat, salurkan kepada MyCC dan kita akan melaksanakan penyiasatan tentang aspek tersebut," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN