
KUALA LUMPUR, 6 Mac- Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) menyatakan komitmen meneruskan program Dasar Peluang Kedua (DPK) 3.0 – Pelepasan Fast Track bagi membantu golongan bankrap kembali pulih dari segi kewangan.
- Pelepasan kebankrapan secara cepat diberikan kepada empat kumpulan sasaran: ibu bapa tunggal, mangsa penipuan, mangsa projek terbengkalai, dan pengusaha mikro.
- Inisiatif termasuk turun padang, edaran risalah dan aktiviti kebajikan untuk meningkatkan kesedaran pengurusan kewangan serta implikasi kebankrapan.
- Dasar Peluang Kedua berjaya melepaskan lebih 381,000 kes kebankrapan pada 2024 dan 2025, menunjukkan impak positif program.
Ketua Pengarah MDI, Datuk Ishak Bakri berkata program berkenaan memberi pelepasan kebankrapan dengan kadar lebih cepat kepada empat kumpulan sasaran termasuk golongan ibu dan bapa tunggal.
“Program ini menyasarkan empat golongan untuk diberikan pelepasan kebankrapan dalam masa singkat iaitu ibu dan bapa tunggal, mangsa penipuan, individu bankrap akibat projek terbengkalai, serta pengusaha mikro,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program MDI Prihatin dan edaran bubur lambuk kepada peniaga di Bazar Ramadan Komplek PKNS Shah Alam, Selangor, hari ini.
Tambah Datuk Ishak, program itu turut melibatkan aktiviti turun padang, edaran risalah serta aktiviti kebajikan bagi meningkatkan kesedaran kewangan dan implikasi kebankrapan terhadap penerima manfaat.
Sejak diperkenalkan oleh Kerajaan MADANI dan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, program tersebut berjaya melepaskan lebih 381,000 kes kebankrapan pada 2024 dan 2025.
Setakat awal tahun ini, Dasar Peluang Kedua Fast Track 3.0 telah menerima 64 permohonan daripada empat kumpulan sasaran.
Datuk Ishak Bakri berkata pendekatan kebajikan dan advokasi menjadi platform strategik untuk mendidik rakyat mengenai pengurusan kewangan dan implikasi kebankrapan.
Tambahnya, kementerian akan terus menyokong usaha MDI bagi memastikan program berkenaan berkesan dan memberi impak positif terhadap golongan memerlukan.