KUALA LUMPUR, 12 September - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) buat julung kalinya akan menerbitkan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2024 di peringkat negeri.
Indeks tersebut dibangunkan bagi mengukur tahap kebahagiaan rakyat merangkumi aspek fizikal, sosial, emosi dan spiritual, sekali gus memberi gambaran menyeluruh mengenai kesejahteraan serta kepuasan hidup rakyat Malaysia pada tahun ini.
Menurut kenyataan Kementerian Ekonomi, pengukuran MHI penting untuk menilai tahap kebahagiaan rakyat melalui pelbagai indikator kesejahteraan hidup.
Bagi penerbitan kali ini, sebanyak 16 laporan MHI di peringkat negeri akan dikeluarkan, membolehkan perbandingan tahap kebahagiaan antara negeri dilakukan.
Laporan lengkap Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2024 akan diterbitkan secara rasmi oleh DOSM pada 12 September 2025, pukul 12 tengah hari, melalui siaran langsung di laman Facebook rasmi jabatan itu.