fb fb fb fb fb

Dokumentari Khas “Cerita antara kita” simbolik hubungan dua hala Malaysia-China

Foto RTM

CHENGDU, 2 Mei – “Cerita Antara Kita”, sebuah dokumentari khas hasil kolaborasi China Media Group (CMG) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena Sambutan Jubli Emas Hubungan Diplomatik Malaysia dan China tahun ini.

Sesi penggambaran selama 4 hari itu melibatkan penerbit RTM, Azry Ahmad Mustafa Hadi yang juga pengacara bersama wartawan CMG, Husna Liang Liang mengunjungi panda Sheng Yi, di Pusat Konservasi Panda Gergasi Shenshuping Wolong, Sichuan.

Sheng Yi adalah antara tiga anak panda daripada pasangan Liang Liang dan Xing Xing yang dilahirkan di Zoo Negara, Malaysia.

Liang Liang dan Xing Xing adalah panda yang dipinjamkan kepada Malaysia menerusi Program pinjaman di bawah Perjanjian Kerjasama Pemuliharaan Panda Gergasi Antarabangsa pada 2014.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Bahasa Melayu CMG, Wang Jin Fairus, episod pertama dokumentari khas ini juga akan membawa penonton menghayati erti sebenar persahabatan yang ditonjolkan melalui sambutan peminat-peminat panda di China terhadap Sheng Yi.

Selain itu, turut diselitkan keunikan bandar Chengdu, yang “dipenuhi” elemen-elemen mamalia hitam putih di sekitar ibu kota Sichuan.

Lokasi penggambaran turut dijalankan di beberapa kawasan menarik seperti Pusat Kewangan Antarabangsa (IFS), Kuanzhai Alley dan Pejabat Pos Panda.

Wang Jin turut berharap kerjasama strategik itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi mengeratkan lagi hubungan antara dua agensi media serta hubungan dua hala kedua-dua negara.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD