fb fb fb fb fb

Dokumentari 'Cerita Antara Kita' - diplomasi panda gergasi disiarkan di RTMKlik

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 20 Jun- Sebuah dokumentari khas berkisarkan diplomasi beruang panda gergasi antara China dan Malaysia, bakal ditayangkan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Rancangan yang bertajuk “Cerita Antara Kita” itu akan disiarkan di platform penstriman langsung RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my).

Dokumentari terbitan bersama antara RTM dan Kumpulan Media China (CMG), menelusuri pengembaraan Azry Ahmad Mustafa Hadi bermula dari Zoo Negara, Malaysia ke Pangkalan Shenshuping Pusat Perlindungan dan Penyelidikan Panda Gergasi China di Wolong, Sichuan, China.

Produksi turut disertai rakan penerbitan, Liang Liang Husna dari CMG, yang membawa penonton melawat dan mengikuti perkembangan terkini Sheng Yi iaitu panda yang lahir di Malaysia pada 31 Mei 2021 namun telah dikembalikan ke China pada 29 Ogos 2023.

Selain itu, lagu tema dokumentari bertajuk 'Dua Dunia Satu Cinta' dinyanyikan secara duet oleh Aina Abdul dan Husna.

Sesi penggambaran dokumentari itu tular di media sosial negara China dengan ratusan juta jumlah tontonan sekali gus turut memberi tempias positif kepada jumlah pelayar media sosial di Malaysia selain beberapa negara lain.

Malaysia dan China mula menjalinkan hubungan dua hala secara rasmi pada 31 Mei 1974 menerusi Kenyataan Bersama yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri China ketika itu, Chou En-Lai.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM