PORT DICKSON, 22 November- Jabatan Perikanan Negeri Sembilan sedang menjalankan proses pemutihan serta mengenal pasti kolam ikan terbiar untuk dibangunkan semula.
Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan Kasim Tawe pihaknya komited membantu kerajaan negeri dalam memastikan usaha itu dapat dilaksanakan dengan baik sekali gus menjamin stok bekalan ikan di negeri itu.
"Saya telah mengarahkan semua pejabat perikanan daerah utuk mengambil dan buat siasatan secara terperinci sebelum kita kemukakan kepada kerjaan negeri kolam mana yang perlu diutamakan dan tahap kerosakan,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui kru RTM Pada Program Pengukuhan dan Pemantapan my komunity Perikanan (myKP) dan Ketua Jaringan Perikanan (KJP) Negeri Sembilan 2023 di Port dickson.
Terdahulu media melaporkan Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ia melibatkan kolam yang terbiar akibat kejadian banjir besar pada Disember 2021.
Dalam pada itu, pada program yang berlangsung, 5,000 ekor benih ketam renjung telah dilepaskan di perairan Pantai Cahaya Negeri.
Turut dilaksanakan, penanaman pokok bakau.
Sementara itu, Kasim Tawe memaklumkan bekalan ikan di Negeri Sembilan stabil dan dijamin mencukupi sepanjang musim Monsun Timur Laut yang bermula bulan ini.
Beliau berkata, nelayan turut diminta agar peka dengan ramalan cuaca harian serta sentiasa bersiap siaga supaya tidak berlaku sebarang kerugian.
Tambahnya, terdapat tiga subsektor perikanan di negeri itu iaitu Perikanan Tangkapan, Akuakultur dan Perikanan Darat.
Setakat Disember 2022, akuakultur mencatat 88.91 peratus bersamaan dengan 4982.85 tan metrik daripada keseluruhan pengeluaran perikanan di negeri itu, diikuti dengan Perikanan Tangkapan sebanyak 10.70 peratus bersamaan 599.94 tan metrik dan Perikanan Darat, 0.39 peratus 21.47 tan metrik.