fb fb fb fb fb

Dobi dan tempat kerja, kini kawasan larangan merokok - KKM

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA, 4 Oktober- Bangunan dobi dan bangunan tempat kerja kini termasuk antara 28 kawasan larangan merokok.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia diwartakan menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), berkuat kuasa 1 Oktober lalu.

Bagaimanapun, tindakan penguatkuasaan akan bermula selepas 1 Januari 2025.

Langkah itu antara lain bagi membolehkan pemilik premis membuat persediaan termasuk menampal tanda amaran larangan merokok.

"Apabila kita menyusun semula akta baru ini iaitu Akta 852, ia telah tersenarai sebanyak 28 lokasi. Sudah termasuk dua yang baharu."

"Ini pun mula kuat kuasa 1 Januari. Maka, dobi dan tempat kerja meliputi awam dan swasta adalah kawasan larangan merokok," kata Dr. Dzulkefly kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui pada sesi taklimat media berhubung Akta 852, di Putrajaya.

Kawasan larangan merokok lain antaranya hospital atau klinik, kedai berhawa dingin, kompleks membeli-belah dan tandas awam.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM