Dividen KWSP dijangka kekal kompetitif disokong prestasi pelaburan stabil

Foto fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Februari -Ahli ekonomi yakin Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berupaya mengekalkan kadar dividen kompetitif antara 6.3 hingga 6.5 peratus bagi tahun kewangan 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • KWSP dijangka mengekalkan kadar dividen kompetitif antara 6.3 hingga 6.5 peratus bagi tahun kewangan 2025.
  • Prestasi pelaburan stabil memberi ruang kepada kemungkinan pengumuman kadar dividen lebih tinggi dalam senario optimistik.
  • KWSP disarankan kukuhkan pelaburan pendapatan tetap dan strategi lindung nilai mata wang untuk melindungi nilai pelaburan.
  • Pendapatan pelaburan meningkat dengan diversifikasi geografi menyumbang kepada prestasi positif dan sokongan kepada kadar dividen.

Menurut pakar ekonomi Profesor Emeritus Barjoyai Bardai, dalam senario yang lebih optimistik pengurus dana persaraan itu mampu mengisytiharkan kadar yang lebih tinggi, berdasarkan prestasi pelaburan yang stabil.

“Sebenarnya KWSP mungkin mampu memberikan kadar dividen lebih tinggi daripada 6.5 peratus, namun dasar institusi itu adalah untuk memastikan kestabilan dividen.

”Bagi para pencarum pula, mereka hanya mengharapkan pulangan melebihi enam peratus, apabila paras itu dicapai, pencarum akan berasa lega dan berpuas hati,” katanya kepada RTM.

Beliau berpandangan, KWSP berkemungkinan menyimpan sebahagian pulangan pelaburan sebagai langkah persediaan menghadapi cabaran ekonomi global untuk tahun akan datang.

Justeru, KWSP disaran memperkukuh pelaburan pendapatan tetap serta melaksanakan strategi lindung nilai mata wang bagi melindungi nilai pelaburan daripada risiko penyusutan.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, prestasi pelaburan memberangsangkan untuk sembilan bulan pertama dijangka menyumbang secara signifikan kepada agihan dividen KWSP.

”Strategi KWSP untuk mempelbagaikan portfolio mereka dari sudut geografi sudah banyak membuahkan hasil yang positif dan menyumbang kepada pendapatan KWSP secara keseluruhan, ia banyak membantu strategi pelaburan KWSP dan diterjemahkan kepada kadar dividen lebih baik.

”Saya jangkakan kadar dividen yang akan diumumkan sekurang-kurangnya pada 6.3 peratus dan secara keseluruhan antara lingkungan 6.3 peratus dan 6.5 peratus,” katanya.

Untuk tempoh sembilan bulan pertama 2025, KWSP merekodkan pendapatan pelaburan sebanyak RM63.99 bilion dengan peningkatan 11 peratus, berbanding RM57.57 bilion pada tempoh sama tahun 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn dalam kenyataan pada November 2025 berkata, pertumbuhan dalam jumlah pendapatan pelaburan dan aset di bawah pengurusan adalah hasil pelaksanaan alokasi aset strategik yang membolehkan KWSP mengambil peluang daripada pemulihan pasaran ekuiti pasca ‘Liberation Day’.