KUALA LUMPUR, 11 Disember- Diskusi Meja Bulat: Kualiti Pendidikan Negara, akan diperluas ke seluruh negara bagi mendapatkan pelbagai pandangan daripada pihak berkepentingan sektor pendidikan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata diskusi itu merupakan pengubah keadaan bagi mendapatkan pandangan dan mengenal pasti pencapaian serta peluang selain penambahbaikan sektor pendidikan negara.
"Ia tidak akan berakhir di sini sahaja, diskusi ini akan diperluaskan dengan diskusi yang lebih mendalam dan terperinci selepas ini,
khususnya untuk melihat apa yang diangkat hari ini akan dibincangkan dalam perbincangan yang lain," kata Fadhlina kepada pemberita di sini.
Diskusi disertai 25 individu berkepentingan termasuk pakar pendidikan, ahli akademik, pemain industri dan golongan profesional.
Ia antara lain membincangkan perihal berkaitan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 hingga 2025, serta laporan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022.