PUTRAJAYA, 26 Mac- Pengumuman pengurangan tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri mendapat reaksi positif daripada orang ramai.
Rata-rata menyifatkan langkah itu bukan sahaja meringankan beban kewangan pengguna lebuh raya, tetapi menggalakkan lebih ramai perantau pulang ke kampung halaman bagi meraikan lebaran bersama keluarga.
"Alhamdulillah, saya rasa pengumuman kerajaan itu satu inisiatif yang sangat baiklah. Ia membantu sebab sebelum ini kita tengok Tahun Baharu Cina pun dapat kan. Jadi, Aidilfitri kenapa tidak pula. Keprihatinan kerajaan itu mengangkat kepelbagaian perayaan di Malaysia," kata Nur Syuhada Yusof, penjawat awam.
"Terima kasih kepada kerajaan sebab bagi diskaun 50 peratus. Ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami semua untuk balik kampung. Kampung pula jauh di utara, selatan. Maka, ia banyak beri kebaikan pada kami," kata Nursyafiqah Izzati Haspawari, guru tadika.
"Terima kasih kerajaan atas pengurangan tol untuk pulang ke kampung halaman. Saya cuti lama, maka boleh jimatkan pendapatan untuk balik nanti," kata Wan Nor Asiah Ahmad, cikgu tadika.
"Pertama sekali, terima kasih kepada kerajaan madani kerana mengumumkan 50 peratus diskaun tol sempena Hari Raya Aidilfitri ini. Saya pasti ramai saudara mara dan kawan-kawan saya semua akan berpusu-pusu balik ke kampung masing-masing," Melvin Saw Shang Kean, penjawat awam.
Perkara sama turut disuarakan pengguna lebuh raya di Melaka.
Pemberian tersebut jelas mengurangkan beban perbelanjaan untuk pulang ke kampung.
"Saya rasa sangat baiklah ini Kerajaan MADANI kita ini, memang cakna kepada rakyat. Kita sedia maklum kos sara hidup tinggi dan kerajaan membantu kita di saat kita meraikan hari kemenangan kita sebagai umat Islam. Jadi, semua orang dapat pulang beraya di kampung dan memeriahkan suasana hari raya itulah," kata Azeze Harun, juru jual.
“Pada pandangan saya, pengumuman pengurangan diskaun 50 peratus tol dan insentif internet amat baguslah untuk rakyat Malaysia. Usaha kerajaan itu dapat meringankan beban rakyat, nak bayar tol balik kampung kemudian dengan minyak lagi. Maka, benda ini dapat ringankan beban rakyat kita semua," Noreleyana Hashim, peniaga.