Diskaun tol 50% sempena Aidilfitri

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan diskaun tol 50% sempena Aidilfitri diputuskan Jemaah Menteri – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Kerajaan mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena Aidilfitri tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan itu dicapai oleh Jemaah Menteri untuk membantu mengurangkan kos perjalanan rakyat pulang ke kampung.
  • Pelaksanaan melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya kecuali Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar dan Plaza Tol Tanjung Kupang (LINKEDUA).
  • Kerajaan menyediakan pampasan kewangan berjumlah RM21.03 juta bagi tujuan pampasan kepada syarikat konsesi tol.
  • Kerajaan juga umum pelepasan kebankrapan Fast Track kepada kira-kira 4,000 individu serta cuti tambahan, Skim Harga Maksimum dan peluasan subsidi FLYsiswa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan memaklumkan, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat Jemaah Menteri bagi membantu mengurangkan kos perjalanan rakyat pulang ke kampung.

Diskaun akan berkuat kuasa mulai pukul 12.01 tengah malam pada 18 Mac hingga pukul 11.59 malam 19 Mac.

“Ia melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya, kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA),” menurut kenyataan itu.

“Inisiatif ini membabitkan tanggungan kewangan berjumlah RM21.03 juta bagi tujuan pampasan kepada syarikat konsesi tol.”

Tambah Perdana Menteri, Kerajaan MADANI melalui Jabatan Insolvensi Malaysia juga akan melaksanakan inisiatif pelepasan kebankrapan secara Fast Track, yang membabitkan kira-kira 4,000 individu, khususnya ibu dan bapa tunggal, yang akan dibebaskan daripada belenggu kebankrapan bersempena Aidilfitri.

Selain itu, kerajaan turut mengumumkan pemberian cuti tambahan Aidilfitri kepada penjawat awam, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan dari 14 hingga 28 Mac serta peluasan subsidi tiket penerbangan FLYsiswa bernilai RM400 kepada pelbagai institusi pengajian tinggi.

Menurut Datuk Seri Anwar, semua langkah tersebut adalah manifestasi nilai ihsan dan kemanusiaan yang menjadi teras Kerajaan MADANI bagi memastikan rakyat terus menikmati manfaat daripada kemakmuran yang dicapai bersama.