SEKINCHAN, 4 Februari – Pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus akan dilaksanakan sepanjang musim perayaan tahun ini, selaras dengan keputusan kerajaan sebagai inisiatif membantu rakyat ketika musim perayaan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata keputusan langkah menjimatkan kos yang perlu ditanggung kerajaan untuk membayar kepada syarikat konsesi lebuh raya.
"Dalam satu tahun, ada lapan hari yang diberikan tol percuma sebelum ini. Sekarang, jumlah yang sama iaitu lapan hari akan diberikan diskaun tol 50 peratus pada tahun 2025," katanya kepada pemberita pada lawatan kerja di Jalan Persekutuan FT05 Sungai Besar-Sabak Bernam di sini hari ini.
Menurut beliau, pemberian diskaun ini melibatkan semua plaza tol di seluruh negara kecuali dua lokasi, iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), yang terletak di sempadan negara.
Beliau turut menjelaskan bahawa semua kos diskaun tol ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan menggunakan duit rakyat dan bukannya dibiayai oleh syarikat konsesi lebuh raya.
"Kalau tol percuma, kerajaan membelanjakan lebih RM100 juta setahun.
"Tetapi dengan kadar diskaun 50 peratus, bayangkan RM160 juta dibahagi dua, itulah jumlah yang kerajaan akan bayar kepada syarikat konsesi," katanya.
Sebelum ini, Nanta berkata kerajaan sedang mengkaji pendekatan yang lebih bersasar membantu rakyat bagi menggantikan kaedah pemberian tol percuma bersempena dengan musim perayaan.