
KANGAR, 6 Februari – Disiplin diri dan pengurusan masa yang konsisten menjadi kunci kejayaan Jufri Harith Junizam, yang muncul sebagai pelajar terbaik Perlis dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025, diumumkan semalam.
- Disiplin diri melalui tidur awal dan bangun seawal 4 pagi untuk menghafal pelajaran.
- Pengurusan masa: ulang kaji dua subjek setiap hari untuk kefahaman mendalam.
- Matlamat jelas menjadi pendidik; bercita-cita melanjutkan pengajian ke Asia Barat.
Jufri, 19, bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah (SMA Al-Maad) memperoleh keputusan cemerlang dengan 5 Mumtaz dan 5 Jayyid Jiddan.
Menurutnya, amalan tidur awal dan bangun seawal jam 4 pagi untuk menghafal pelajaran antara rutin yang diamalkan sepanjang tempoh persediaan peperiksaan.
Beliau turut mengulang kaji hanya dua subjek setiap hari bagi memastikan kefahaman lebih mendalam terhadap setiap mata pelajaran.
Jufri yang bercita-cita menjadi pendidik merancang melanjutkan pengajian ke Asia Barat bagi merealisasikan impiannya.
Bapanya, Junizam Zainon berkata, walaupun Jufri berpeluang memilih aliran lain selepas Sijil Pelajara Malaysia (SPM), anaknya tetap memilih aliran dini kerana minat yang mendalam serta hasrat untuk menceburi bidang pendidikan.
Sementara itu, kejayaan Jufri turut menyumbang kepada pencapaian cemerlang SMA Al-Maad apabila seramai 26 pelajar sekolah tersebut menduduki STAM 2025.
Menurut Pengetua SMA AL-MAAD, pencapaian itu membolehkan sekolah mencatatkan Gred Purata Negeri (GPN) 2.95, sekali gus menjadi keputusan terbaik dalam tempoh 10 tahun.
Untuk rekod, seramai 45 calon mendaftar bagi menduduki STAM 2025, dengan 29 daripadanya menduduki peperiksaan di tiga pusat peperiksaan seluruh negeri itu.