DUNGUN, 9 Oktober – Tiga penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Dungun maut, manakala seorang lagi cedera selepas dirempuh sebuah SUV berhampiran universiti itu kira-kira pukul 7.20 malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hasan, berkata ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
"SUV yang melanggar mangsa dipandu oleh seorang wanita berusia 49 tahun dari Kampung Sura Tengah, Dungun, yang dipercayai mengalami masalah mental," katanya ketika dihubungi RTM.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dari Muar, Johor, penuntut tahun dua Sarjana Muda Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan. Sementara Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dari Sungai Buloh, Selangor dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, dari Ampang, Selangor, masing-masing penuntut tahun dua Sarjana Muda Sains Perakaunan.
Mangsa yang cedera pula dikenali sebagai Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 20, dari Taman Sri Keramat, Kuala Lumpur juga merupakan penuntut tahun dua Sarjana Muda Sains Perakaunan.
Punca kejadian masih dalam siasatan, namun pemandu SUV itu telah ditahan bagi membantu siasatan.