DIPN pacu pembangunan industri pertahanan tempatan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 13 JanuariPembangunan industri pertahanan tempatan akan diperkasa menerusi penggubalan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).

RINGKASAN BERITA AI
  • Perancangan DIPN memberi tumpuan kepada memperkasa keupayaan tempatan dalam penyelenggaraan, inovasi dan R&D aset pertahanan.
  • Mengurangkan kebergantungan pada OEM melalui pemindahan teknologi kepada industri pertahanan tempatan.
  • Penekanan kepada peningkatan keupayaan digital dan penggunaan kecerdasan buatan untuk operasi pertahanan moden.
  • DIPN akan dilancarkan pada 21 Januari sebagai inisiatif nasional memperkukuh industri pertahanan tempatan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan Malaysia, Datuk Abdul Hadi Omar berkata, antara fokus utama memperkasa keupayaan tempatan dalam kerja penyelenggaraan, inovasi serta penyelidikan dan pembangunan aset pertahanan.

Jelasnya, langkah itu penting bagi memastikan Malaysia tidak terus bergantung kepada pihak luar dalam aspek pertahanan, khususnya ketika menghadapi ketidaktentuan geopolitik global.

“Apabila kita membuat dari segi penyelenggaraan aset-aset pertahanan kita, kita tak mahu terlalu bergantung pada Original Equipment Manufacture (OEM) iaitu pengeluar. Kita harap mereka memindahkan teknologi kepada industri tempatan untuk kita sendiri yang buat penyelenggaraan dan juga daripada situ kita dapat meningkatkan inovasi dan juga kita dapat meningkatkan R&D. Akhirnya, kita sendiri berkeupayaan untuk menghasilkan aset-aset pertahanan kita,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Abdul Hadi berpandangan ada keperluan untuk meningkatkan pertahanan dalam aspek digital dan kecerdasan buatan (AI).

Jelasnya, peperangan ketika ini tidak hanya terhad kepada peperangan konvensional, tetapi turut melibatkan peperangan secara siber.

“Sekarang ini dia bermula dengan peperangan siber malah ada peperangaan angkasa antaranya kita merosakkan satelit, merosakkan komunikasi. Sebab itu kita memerlukan teknologi AI. Kita tidak boleh ketinggalan dari segi teknologi tersebut kerana pada masa hadapan, itu yang akan kita tengok kalau perperangan sekarang ini menggunakan dron, komunikasi dron. Semua itu memerlukan teknologi AI. Kita perlu menguasai teknologi tersebut,” katanya.

DIPN bakal diluncurkan pada 21 Januari oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.