
KUALA LUMPUR, 18 Februari – Kepentingan masyarakat pelbagai kaum di negara ini terus dijamin menerusi dasar dan inisiatif inklusif yang dilaksana kerajaan.
- Perpaduan organik terjalin melalui interaksi sosial antara kanak-kanak pelbagai kaum sebagai indikator utama keharmonian.
- Usaha kerajaan penting, tetapi masyarakat mesti menjadi agen memupuk hubungan harmoni secara aktif.
- Pendidikan dan institusi perlu mengukuhkan undang-undang serta silibus berasaskan Rukun Negara untuk tangani isu perkauman.
- Kestabilan kaum menyumbang kepada keamanan sosial, keyakinan pelabur asing dan pengukuhan ekonomi negara.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Dr Anuar Ahmad berkata aspek perpaduan nasional kekal menjadi keutamaan dalam memastikan keharmonian dan persefahaman antara kaum.
“Antara indikator utama bila bercakap mengenai perpaduan ialah bagaimana anak-anak kita berinteraksi antara satu kaum dengan kaum lain. Kalau kita dapat lihat anak kita bergaul bersosial dengan rakan rakan pelbagai kaum itu menunjukkan indikator utama bahawa perpaduan yang wujud di negara kita ini adalah perpaduan yang organik yang datangnya daripada hubungan masyarakat itu sendiri.
“Penekanan kepada usaha kerajaan untuk meningkatkan perpaduan dan mengurangkan sentimen perkauman, di samping untuk kita terus meningkatkan kesedaran kita tentang sensitiviti kaum khususnya berkaitan dengan 3R ini perlu diperkuatkan.
Kita tak boleh menganggap bahawa kita sudah berada dalam keadaan yang baik. Memang negara kita berada dalam keadaan aman tenteram dan sentiasa menghormati antara satu sama lain, tetapi kita tidak boleh menjamin perkara buruk tidak boleh berlaku kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Berita RTM.
Dr Anuar berpandangan usaha memperkukuh perpaduan tidak hanya bergantung kepada dasar kerajaan semata-mata.
Sebaliknya, masyarakat juga perlu memainkan peranan signifikan; menjadi agen memupuk hubungan harmoni antara satu sama lain.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri Fakulti Undang-Undang UiTM, Prof. Madya Dr. Norazlina Abdul Aziz berkata pendekatan menyeluruh perlu dilaksana bagi mengekang penularan isu perkauman khususnya di media sosial.
Jelasnya, kemajuan teknologi komunikasi dan kebebasan bersuara kini menjadi antara cabaran baharu memelihara keharmonian masyarakat pelbagai kaum.
“Cabaran kebebasan bersuara yang pada masa sekarang disokong oleh teknologi yang sangat maju di dalam komunikasi dan sukar dikawal. Kebebasan bersuara itu kadang-kadang berasaskan kepada pemberian maklumat mahupun hasutan.
“Saya merasakan bahawa di sinilah institusi pendidikan tinggi dan sekolah memainkan peranan secara bersama untuk mengukuhkan undang-undang. Kemungkinan satu cadangan yang baik adalah untuk menerapkan satu silibus berasaskan kepada rukun negara yang lebih mantap bagi mengukuhkan perpaduan dalam negara.
“Perpaduan dalam negara dapat memacu kepada kestabilan politik sosial dan ekonomi di dalam negara,” katanya.
Prof. Madya Dr. Norazlina berkata keamanan dan kestabilan kaum bukan sahaja menjamin kesejahteraan rakyat.
Malah, menjadi faktor penting menarik keyakinan pelabur asing dan memperkukuh ekonomi negara.