fb fb fb fb fb

Digital ID selamat digunakan, kemajuan seiring perkembangan teknologi - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) mendaftarkan diri dengan Identiti Digital Nasional atau Digital ID di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini

PUTRAJAYA, 1 Disember - Orang ramai tidak perlu bimbang terhadap pelaksanaan Digital ID.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia merupakan inisiatif kerajaan untuk memajukan negara seiring dengan perkembangan semasa melibatkan penggunaan teknologi.

"Jadi saya harap orang ramai dengar penjelasan daripada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berhubungan Digital ID sebelum memberikan sebarang komentar kerana ia akan menjejaskan keyakinan rakyat sekaligus menjadikan negara akan keterbelakang dari negara-negara maju," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Pendaftaran Digital ID, di sini.

Pagi tadi, Perdana Menteri menjadi antara individu terawal mendaftar dengan identiti Digital Nasional atau Digital ID.

Ini sekaligus menjadikan beliau individu pertama di negara ini yang memiliki kemudahan Digital ID berkenaan.

Digital ID merupakan suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.

Digital ID tidak akan menggantikan MyKad sedia ada sebaliknya memperkukuh keselamatan MyKad bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian yang mendatangkan kerugian kepada negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN