KUALA LUMPUR, 27 Mac - Seramai 2.1 juta pelajar menggunakan Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMa) secara aktif sepanjang tahun lalu, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.
Menurut beliau, inisiatif percuma daripada Kementerian Pendidikan (KPM) telah ditambah baik melibatkan perkhidmatan, aplikasi dan kandungan selari dengan perkembangan teknologi masa kini.
"Sumber pendidikan dalam DELIMa menyediakan pelbagai bahan pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan serta dapat memperluas peluang murid untuk belajar serta meningkatkan motivasi, prestasi dan potensi yang dapat membangunkan bakat mereka secara menyeluruh," katanya yang menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Langat, berkaitan tindakan kementerian itu dalam memperkasakan pembelajaran secara digital dengan akses percuma dan terbuka.
Tambahnya, KPM turut menganjurkan aktiviti dan pertandingan TV Pusat Sumber Pendidikan di peringkat negeri dan kebangsaan bagi melatih murid mengendalikan saluran televisyen digital sekolah untuk menerbitkan rancangan.
Kah Woh berkata, KPM juga telah mewujudkan pasukan petugas khas (task force) Pendidikan Digital untuk mempergiat dan memperkasa pelaksanaan (Dasar Pendidikan Digital).
Jelasnya lagi, pasukan ini akan memastikan ekosistem pembudayaan teknologi digital dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) tersedia dalam usaha melahirkan generasi fasih digital.
“KPM komited untuk memperkasakan kualiti penyampaian perkhidmatan pendidikan berteraskan teknologi digital seiring dengan perkembangan pesat teknologi global dalam usaha untuk melahirkan modal insan yang berilmu, beretika dan berdaya saing,”ujarnya.