fb fb fb fb fb

Dewan Negara: KPM komited beri kesedaran keselamatan siber di peringkat sekolah

Pelajar sekolah rendah diberikan pendedahan tentang keselamatan siber/FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Disember - Kementerian Pendidikan (KPM) komited mempratikkan secara menyeluruh kesedaran penggunaan peranti digital di peringkat sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, di peringkat sekolah rendah KPM menerapkan kesedaran dalam mata pelajaran bahasa Melayu dan Pendidikan Moral.

Manakala di peringkat sekolah menengah pula setiap pelajar akan diberi pendedahan berkaitan keselamatan digital yang diajar dalam tajuk Keselamatan Data dalam mata pelajaran Asas Sains Komputer dan tajuk Komputer dan Impak dalam mata pelajaran Sains Komputer.

“Guru-guru juga diberikan latihan, pengiktirafan dan pensijilan melalui program Certified CyberSecurity Awareness Educator bagi meningkatkan kesedaran keselamatan siber mereka serta berupaya menerapkan kewarganegaraan digital yang bertanggungjawab dan beretika dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP)," katanya ketika menjawab soalan daripada Senator Noorita Sual di Dewan Negara hari ini.

Katanya, sehingga kini seramai 124 orang guru telah menerima pensijilan dan pengiktirafan serta memainkan peranan sebagai jurulatih dan pembimbing di daerah masing-masing.

Kah Woh berkata, KPM juga sedang bekerjasama dengan Cybersecurity Malaysia dalam menambahbaik Modul Etika Siber Nasional (ESN).

Fokus utama adalah memberi penekanan kepada enam topik antaranya Perdagangan Digital, Hak dan Tanggungjawab Digital, Privasi dan Keselamatan Digital, Fasih Digital, Etiket Digital dan Kesejahteraan Digital.

Senator Noorita Sual meminta KPM menyatakan perancangan dalam memastikan murid-murid di peringkat sekolah rendah dan menengah di seluruh negara mendapat pendedahan dan pengetahuan berkenaan dengan keselamatan siber (cybersafety) apabila memasuki alam dunia siber.

GRACE AISYAH KEDAYAN