fb fb fb fb fb

Dewan Negara: Kerajaan tambah 186 NADI baharu di seluruh negara

Gambar fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 April - Kementerian Komunikasi membangunkan tambahan 38 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) baharu di Pulau Pinang.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata angka itu merupakan keseluruhan 186 Nadi baharu yang akan dibina di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

"Dengan penambahan Nadi baharu, ia akan menjadikan keseluruhan 1,097 Nadi di seluruh negara dan 41 Nadi di Pulau Pinang, sekali gus mencapai inisiatif satu Dewan Undangan Negeri (DUN) satu Nadi," katanya di Dewan Negara bagi menjawab pertanyaan Lingeshwaran yang ingin tahu mengapa Pulau Pinang hanya mempunyai tiga Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) iaitu kedua terendah di Malaysia.

Ujarnya lagi, selain kemudahan capaian internet, pelbagai kursus dan latihan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan keusahawanan turut disediakan kawasan terlibat.

"Ia bertujuan untuk meningkatkan kemahiran kendiri serta memperkasakan pembangunan sosioekonomi komuniti setempat," katanya.

Untuk rekod, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengumumkan PEDi dikenali sebagai Nadi berkuat kuasa 1 Mac ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN