fb fb fb fb fb

Dewan Negara bertafakur penghormatan untuk mendiang Tun Michael Chen

Dewan Negara bertafakur penghormatan untuk mendiang Tun Michael Chen

KUALA LUMPUR, 1 Ogos- Sidang Dewan Negara hari ini dimulakan dengan sesi bertafakur bagi memberi penghormatan kepada bekas Yang Dipertua Dewan Negara ke-13, mendiang Tun Michael Chen Wing Sum.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan mendiang sebagai individu penting, membina hubungan dua hala Malaysia-China.

"Dewan juga merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang dan didoakan agar tabah menghadapi dugaan ini.

"Sesungguhnya mendiang telah banyak berjasa dan berbakti kepada masyarakat serta negara termasuk memudahkan hubungan dua hala antara Malaysia dan negara China melalui diplomasi ping-pong, seterusnya memupuk hubungan yang membawa kemajuan dan kerjasama bermakna antara kedua-dua negara", katanya dalam sesi Dewan Negara di sini.

Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu meninggal dunia pada usia 92 tahun pada 26 Julai lalu.

Mendiang Tun Michael Chen Wing Sum memulakan karier sebagai Setiausaha Parlimen kepada Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas bertanggungjawab dalam Penyelidikan Tenaga Nuklear dan Alam Sekitar pada 1973.

ROSLINA BINTI DIN