fb fb fb fb fb

Dewan bedah Pusat Jantung HSIS ditutup sementara kerana gangguan sistem elektrik

Foto Facebook Dr Dzulkefly Ahmad

SHAH ALAM, 27 Julai - Pengoperasian dewan bedah Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang ditangguhkan sementara bermula 22 Julai lepas akibat gangguan sistem elektrik yang berulang bagi mengelakkan risiko kepada pesakit.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Dr Ummi Kalthom Shamsudin dalam kenytataan berkata, pihak kontraktor sedang melakukan semakan dengan pemantauan rapi Jabatan Kerja Raya bagi mengenal pasti punca sebenar gangguan sistem elektrik, seterusnya melakukan penambahbaikan bagi menangani masalah itu.

Beliau berkata bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan, pihak HSIS telah memindahkan perkhidmatan pembedahan kardiotorasik ke dua dewan bedah di Bangunan Utama HSIS Serdang dengan pengoperasian 24 jam.

“Selain itu, pihak Kementerian Kesihatan juga telah melaksanakan penyumberluaran pesakit jantung ke fasiliti swasta oleh Protect Health Corporation bermula 18 Julai 2024 lalu bagi mengurangkan tempoh menunggu pesakit jantung yang perlu menjalani pembedahan kardiotorasik,” katanya.

Dr Ummi Kalthom berkata pemantauan rapi akan dilakukan bagi memastikan pembaikan sistem elektrik di Kompleks Dewan Bedah Pusat Jantung HSIS disegerakan.

TETITIA YUSOFF