
SEPANG, 6 Mac – Dua rakyat Malaysia yang selamat tiba di tanah air berkongsi pengalaman mencemaskan ketika berada di kawasan terjejas.
- Terdengar bunyi letupan; rupanya sistem pertahanan memintas peluru berpandu, menyebabkan situasi amat menakutkan pada awalnya.
- Penumpang terkandas di lapangan terbang; pihak berkuasa dan syarikat penerbangan menyediakan penginapan serta makanan.
- Penumpang bersyukur dan lega apabila penerbangan disahkan semula, transit tenang, dan akhirnya tiba selamat di tanah air.
Salah seorang daripada mereka, Pirativ Rao, 30 tahun yang menyertai rombongan percutian ke Eropah bersama ibu bapanya pada 17 Februari lalu.
Namun perjalanan pulang mereka pada 28 Februari melalui Dubai terjejas selepas penerbangan dibatalkan susulan laporan pengeboman di Iran.
Menurut Rao, seramai 18 orang dalam rombongan tersebut terkandas di Dubai dan terpaksa berlindung di hotel.
“Kami ada terdengar bunyi letupan pada mulanya dan menyangka ia benar-benar mengenai Dubai. Namun, sebenarnya kebanyakan bunyi itu adalah daripada sistem pertahanan yang memintas peluru berpandu.
“Memang menakutkan pada awalnya, tetapi apabila keadaan beransur tenang, kami mula berasa lebih lega. Kami sangat bersyukur kerana akhirnya dapat pulang ke Malaysia dengan selamat”, kongsinya.
Rao turut bersyukur kerana kerajaan Emiriah Arab Bersatu serta syarikat penerbangan Emirates menyediakan kemudahan penginapan dan makanan kepada penumpang yang terkandas.

Dalam pada itu mutawif umrah, Shaifuddin Hashim, 63 tahun, yang terkandas di Jeddah, turut melahirkan rasa syukur selepas selamat tiba di tanah air.
Beliau berkata penerbangan asalnya dijadualkan pada 1 Mac, namun ditangguhkan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz.
Sepanjang tempoh tersebut, kemudahan penginapan dan makanan turut disediakan sebelum tarikh penerbangan baharu disahkan.
“Kami hanya menunggu sahaja sehingga keesokan harinya dimaklumkan bahawa penerbangan pada 5 haribulan telah disahkan.
“Alhamdulillah, kami kembali ke lapangan terbang dan perjalanan berjalan lancar. Ketika transit di Dubai juga, suasananya kelihatan seperti biasa.
“Alhamdulillah, jemaah semua dalam keadaan tenang dan akhirnya kami selamat tiba di KLIA”, katanya.
Kumpulan pertama rakyat Malaysia yang terkandas di Dubai sejak 28 Februari lalu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada pukul 9.40 malam tadi menerusi penerbangan Emirates EK342.