KOTA BHARU, 30 November - Mahkamah Sesyen Kota Bharu menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap seorang wanita hari ini, selepas dia mengaku bersalah mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun enam bulan yang juga anak rakannya, antara 27 Oktober hingga 19 November lalu.
Tertuduh, Norhaslina Hassim, 42 tahun, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Bagaimanapun, adiknya, Nur Intan Baiduri, 32 tahun, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama telah menganiaya mangsa, Nur Malaika Umaira Lee Abdul Qayyum berusia dua tahun enam bulan ketika kejadian dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Jintan Gemilang, Pangkal Changgong, Machang, antara 27 Oktober sehingga 19 November lalu.
Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta yang sama dibaca dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000t atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Fakta kes, pihak polis terima panggilan dari Hospital Machang yang memaklumkan seorang kanak-kanak perempuan tidak sedarkan diri jam 1.45 tengah hari pada 19 November lalu.
Susulan itu, polis menahan dua wanita dan merampas dua telefon bimbit, sebatang rotan panjang serta satu penyangkut baju di sebuah rumah.
Siasatan dijalankan dan mendapati tertuduh menganiaya serta mengabaikan mangsa.
Mereka memukul mangsa dengan menggunakan tangan, penyangkut baju dan rotan panjang sehingga menyebabkan badan serta kepala kanak-kanak itu cedera.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalna Zainal Abidin, tertuduh pertama tidak diwakili peguam manakala tertuduh kedua diwakili peguam,Wan Mohd Ikram Wan Ibrahim.
Terdahulu, Abu Arsalna memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh pertama dan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kedua.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun kepada tertuduh pertama yang bermula dari tarikh tangkap pada 19 November lalu, manakala tertuduh kedua tidak dibenarkan jamin.
Hakim menetapkan 28 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.