fb fb fb fb fb

Dendam dipercayai motif kebakaran rumah di Baling dan Alor Setar

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh / Foto RTM

ALOR SETAR, 22 Januari – Dua insiden kebakaran yang berlaku di Baling dan Jalan Kota Tanah, Alor Setar, dikenal pasti berpunca daripada motif dendam, menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh.

Dalam kejadian di Jalan Kota Tanah, polis menemui bahan penggalak api yang menjadi petunjuk kepada punca kebakaran. Dua mangsa, masing-masing berusia 19 dan 64 tahun, ditemui rentung di tingkat bawah rumah dua tingkat yang musnah terbakar.

Siasatan mendapati kedua-dua mangsa dibakar ketika sedang tidur, dengan petrol dicurahkan pada badan mereka sebelum api dinyalakan. Lima suspek, termasuk seorang warga asing, berusia antara 19 hingga 53 tahun, telah ditahan reman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan.

Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana membunuh dengan niat.

"Pada mulanya, kejadian ini kelihatan seperti kemalangan kebakaran, tetapi berdasarkan laporan awal, terdapat bau petrol di lokasi. Maklumat ini membawa kepada penangkapan lima suspek dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302," jelas Datuk Fisol pada sidang media di sini.

Dalam perkembangan lain, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 23 tahun yang dipercayai terlibat dalam siri kebakaran di Kupang, Baling.

Suspek ditahan pada Selasa dan direman sehingga Sabtu untuk siasatan lanjut.

Menurut Datuk Fisol, motif dendam menjadi punca tindakan suspek.

Hasil soal siasat mendapati suspek mendakwa sering dibuli di tempat kerja dan dipulaukan oleh penduduk setempat.

Setakat ini, polis mengesahkan lebih lapan buah rumah, sebuah kereta, dan dua motosikal telah dibakar dalam siri kejadian tersebut.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (Akta 574).

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD