Delegasi Malaysia hargai sambutan RRI, perkukuh kerjasama penyiaran serumpun

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching ketika mengadakan lawatan ke Radio Republik Indonesia (RRI) bersempena lawatan kerjanya ke Indonesia/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Februari – Malaysia merakamkan penghargaan kepada Radio Republik Indonesia (RRI) atas sambutan yang diberikan kepada delegasi negara bersempena lawatan kerja Hari Pers Nasional 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penghargaan Malaysia kepada RRI atas sambutan mesra kepada delegasi sempena lawatan kerja Hari Pers Nasional.
  • Kerjasama RRI-RTM diperkukuh melalui MoU sejak 1990-an menyokong hubungan dua hala penyiaran.
  • Program kolaboratif seperti Tiga Serumpun dan Bermukun Se-Borneo dijadikan wadah diplomasi budaya.
  • RTM komited perkasakan kerjasama strategik melalui stesen berkembar, pertukaran berita dan pembangunan teknologi penyiaran.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata lawatan rasmi itu mencerminkan hubungan erat Malaysia dan Indonesia sebagai negara serumpun.

“Delegasi Malaysia berasa amat berbesar hati dapat berada buat pertama kalinya di sebuah institusi penyiaran yang menjadi saksi penting sejarah perjuangan, suara rakyat dan pembinaan bangsa Indonesia,” katanya ketika berucap di RRI.

Menurut beliau, hubungan dua hala Malaysia-Indonesia terus diperkukuh melalui kerjasama penyiaran antara RRI dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang terjalin sejak 1990-an menerusi memorandum persefahaman kedua-dua kerajaan.

Teo berkata RRI bakal menyambut ulang tahun ke-81 pada September 2026 manakala RTM mencapai usia 80 tahun pada April tahun sama, sekali gus menunjukkan kematangan kedua-dua institusi penyiaran.

“Dengan usia yang sangat dekat ini, saya yakin pengalaman dan kepakaran yang dimiliki mampu mengukuhkan lagi kerjasama strategik antara RRI dan RTM,” katanya.

Beliau turut menghargai kejayaan program kolaboratif seperti Program Budaya Tiga Serumpun dan Bermukun Se-Borneo yang disifatkan sebagai wadah diplomasi budaya antara masyarakat kedua-dua negara.

Program Tiga Serumpun dijadual berlangsung di Batam pada April 2026, manakala Bermukun Se-Borneo akan diadakan di Pontianak pada November ini.

RTM komited memperkukuh kerjasama strategik bersama RRI termasuk melalui penerbitan stesen berkembar, pertukaran bahan berita, kandungan digital serta pembangunan teknologi penyiaran baharu.

Beliau berharap pertemuan itu menjadi pemangkin kepada kerjasama penyiaran yang lebih tersusun dan berimpak di peringkat serantau.