fb fb fb fb fb

Deklarasi Beijing: Pencapaian wujudkan perpaduan, perdamaian Palestin

Suasana di Khan Yunis, Gaza semasa operasi ketenteraan Israel/ AFP

PUTRAJAYA, 24 Julai- Malaysia mengalu-alukan Deklarasi Beijing bagi menamatkan dan memperkukuhkan perpaduan rakyat Palestin.

Deklarasi yang dimeterai oleh wakil-wakil Palestin di bawah kerangka Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Beijing pada 23 Julai itu bertujuan membentuk kerajaan sementara perpaduan nasional.

Kementerian Luar menerusi kenyataan berkata deklarasi ini adalah pencapaian besar bagi Palestin dalam mewujudkan perpaduan dan perdamaian, sekali gus membawa manfaat kepada semua pihak, termasuk rakyat Palestin.

Tambah kenyataan itu, kerajaan turut menggalakkan semua pihak berkepentingan untuk terus komited terhadap objektif deklarasi yang penting ini.

"Komitmen semua pihak untuk bekerjasama menangani cabaran yang dihadapi oleh Palestin adalah penting, termasuk menentang penempatan haram, serta memastikan saluran bantuan kemanusiaan dan perubatan yang berterusan kepada rakyat Palestin.

Malaysia menyambut baik usaha ini dan menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan mencapai keamanan.

Malaysia tetap berharap bahawa perjanjian ini akan membuka jalan bagi kestabilan dan kemakmuran yang berkekalan di rantau ini.

"Walaupun proses perdamaian ini adalah isu dalaman pelbagai kumpulan rakyat Palestin, sokongan daripada masyarakat antarabangsa juga amat penting.

Malaysia tetap teguh dalam sokongannya terhadap penubuhan negara Palestin dan menggesa kerajaan-kerajaan yang belum mengiktiraf negara Palestin untuk berbuat sedemikian.

"Malaysia menyambut baik inisiatif serta usaha yang dilaksanakan oleh kepimpinan Kerajaan Republik Rakyat China yang telah merealisasikan deklarasi ini.

"Malaysia bersedia memainkan peranan mengikut kemampuan untuk menyumbang kepada pelaksanaan deklarasi yang berkesan", katanya.

ROSLINA BINTI DIN