fb fb fb fb fb

DEFTECH perkenal versi baharu ACV-300 Adnan menerusi LEP

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 Mei- DRB-HICOM Defense Technologies Sdn Bhd (DEFTECH) memperkenal versi baharu ACV-300 Adnan melalui Program Pemanjangan Hayat (LEP) di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia 2024.

Usaha itu bagi menaik taraf kenderaan Tentera Darat Malaysia sedia ada secara terperinci untuk memanjangkan jangka hayat perkhidmatan kenderaan sekurang-kurangnya 15 tahun.

Ketua Bahagian Kejuruteraan dan Teknikalnya, Kolonel Ir. Mohd Pauzi Deris (Bersara) berkata inisiatif itu pastinya memberi pulangan yang baik kepada Tentera Darat Malaysia (TDM). 

Itu adalah kerana pihaknya akan mengekalkan peralatan yang masih boleh digunakan dan memodenkan teknologi sedia ada seiring dengan perkembangan terkini. 

"Kami buat kajian terperinci terlebih dahulu daripada usia kenderaan, peralatan sedia ada, dan objektif yang kita nak capai. Melalui kajian itu, kami akan lihat tindakan yang perlu kita lakukan," kata Ir. Mohd Pauzi kepada pemberita di ibu negara, hari ini.

Ketika ini, terdapat 267 unit kenderaan ACV-300 Adnan di Malaysia dan kuantiti bagi menaik taraf kenderaan akan ditetapkan oleh TDM.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM