fb fb fb fb fb

Deepavali: Kuil Sri Balathandayuthapani jangka terima 6,000 kunjungan penganut

Kuil Sri Balathandayuthapani

SEREMBAN, 12 November- Kuil Sri Balathandayuthapani di Seremban, antara kuil tertua dalam negara yang ditubuhkan pada kurun ke-19 dijangka menerima kunjungan sehingga 6,000 penganut agama Hindu pada sambutan Deepavali kali ini.

Pengerusi Kuil-kuil Hindu Negeri Sembilan, Kapt (B) Parameswaran Renggasamy berkata, rumah ibadat itu juga terbuka menerima kunjungan daripada orang ramai pelbagai kaum dan agama, terutama pada perayaan kali ini bagi merapatkan hubungan silaturahim dalam kelompok masyarakat majmuk.

"Memang kita (kuil) merupakan perhentian kedua dalam kita punya jejak warisan di Seremban yang pertama Stesen Kereta api Seremban manakala kedua, di sini.

"Jadi pelancong-pelancong datang bila-bila masa, dan kuil ini memang sentiasa dibuka untuk semua orang,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Seremban.

Kuil berkenaan beroperasi bermula pukul 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, kemudian 7.00 malam hingga 9.30 malam.

Dalam pada itu, kru RTM sempat menemu bual pengunjung yang datang menyambut perayaan itu.

Tinjauan mendapati, seawal pukul 6.50 pagi penagnut agama Hindu telah mula datang bagi memenuhi ritual sembahyang sempena perayaan itu.

Rata-rata mereka datang bersama-sama keluarga berpakaian baharu.

Bagi Partheben Anandan, dia dan keluarga bersiap untuk sambutan Deepavali seawal pukul lima pagi, serta tidak melepaskan peluang untuk menyantuni rakan-rakan dan keluarga pada musim perayaan ini.

"Pesta cahaya ini kita sambut dengan keluarga pagi-pagi, kita bangun mandi minyak untuk bersihkan diri kemudian kami akan bersembahyang di rumah sebelum ke kuil dan seterusnya beraya bersama keluarga dan rakan,"katanya.

Bagi Sumathi Thiagarajan, perayaan Deepavali sudah tentu dinanti-nantikan dirinya dan keluarga setiap tahun.

"Kawan Melayu, Cina semua datang ke rumah dan saya masak tosai, kari ayam, rendang.

"Selepas itu, baru kami berkunjung ke rumah sanak saudara, paling istimewa muruku kerana setiap rumah berbeza rasa,"katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE