KAJANG, 11 November- Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan peningkatan trafik hingga 2.3 juta kenderaan sehari di empat lebuh raya utama sempena perayaan Deepavali esok.
LLM dalam kenyataan hari ini memaklumkan jangkaan jumlah peningkatan trafik itu adalah di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2).
Pihak berkenaan telah mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya mengambil beberapa langkah bagi meminimumkan kesan peningkatan trafik tersebut, sekali gus memastikan kelancaran dan mengurangkan kesesakan di lebuh raya.
Antaranya, mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya agar menghentikan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong lebuh raya bermula semalam hingga 14 November ini.
Selain itu, mengeluarkan cadangan waktu perjalanan (TTA) untuk membantu pengguna lebuh raya utama berkenaan merancang perjalanan, serta memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol, selain penambahan lorong tol sementara di beberapa plaza tol yang dikenal pasti mempunyai trafik tinggi.
LLM juga menasihatkan pengguna agar memastikan baki kad Touch ‘n Go atau sumber bayaran lain mencukupi supaya tidak menyumbang kepada kesesakan di plaza tol.
Dalam pada itu, LLM menyambut baik pengumuman kerajaan melaksanakan inisiatif tol percuma pada hari ini sehingga esok, 12 November pukul 11.59 malam bersempena cuti perayaan Deepavali.
"Bagi mengoptimumkan inisiatif tol percuma pada 11-12 November 2023, pengguna adalah diingatkan supaya memastikan penggunaaan kad Touch ‘n Go atau SmartTAG masih perlu disentuh bersama-sama kad Touch ‘n Go di plaza tol.
"Manakala pengguna RFID perlu masuk dan keluar dari lebuh raya menggunakan lorong RFID. Tiada bayaran tol dikenakan atau ditolak daripada kad dan e-Wallet Touch ‘n Go," menurut kenyataan.
Pengguna lebuh raya boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat keadaan trafik atau mendapatkan bantuan.