fb fb fb fb fb

DBP lancar Kamus Dewan Perdana

(Datuk Dr Mohd Radzi (kanan) melancarkan Kamus Dewan Perdana/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 1 November- 'Kamus Dewan Perdana', menjadi khazanah unggul negara dengan merakamkan lebih 120,000 entri dalam bahasa Melayu.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, kamus baharu yang diusahakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu merupakan kamus bahasa Melayu pertama di dunia yang memanfaatkan sumber data daripada pangkalan data korpus DBP dan data internet.

Jelasnya, kata-kata baharu yang muncul hasil kepesatan perkembangan ilmu dan keperluan komunikasi semasa turut dirakamkan dalam Kamus Dewan Perdana terdiri daripada istilah khusus, kata dialek, slanga dan lain-lain.

Kata nama khas seperti tokoh, negara, anugerah, dasar negara dan keajaiban dunia yang sebelum ini tidak dapat dalam Kamus Dewan turut dijadikan kata masukan.

Kamus Dewan Perdana juga disifatkan sebagai kamus umum yang lebih lengkap, berwibawa dan terkini dalam memenuhi keperluan pengguna bahasa Melayu.

"Usaha yang telah dilaksanakan oleh editor-editor serta semua pihak yang terlibat dalam menyiapkan kamus ini cukup bermakna dan akan terus abadi sebagai jariah suadara saudari sekalian.

"Ini merupakan satu sumbangan penting kepada bahasa, ia sebagai sumbangan penting kepada generasi masa hadapan. Jika kita lihat kamus pertama Dewan Bahasa yang dikeluarkan pada 1970 kita lihat saiznya jauh lebih nipis daripada apa yang kita ada pada Kamus Dewan Perdana ini," kata Mohd Radzi ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Kamus Dewan Perdana di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka,di sini.

Tambah beliau, julung-julung kalinya, sebanyak 7,000 kata yang terpilih telah diberikan maklumat etimilogi dalam Kamus Dewan Perdana dengan sebahagian besar olahannya disediakan oleh pakar etimologi bahasa Melayu.

(Datuk Dr Mohd Radzi melihat Kamus Dewan Perdana selepas melancarkan kamus itu di Balai
Budaya Tun Syed Nasir/BERNAMA)

Media Baharu