DBKL turunkan caj tapak bazar Ramadan kepada RM400

FOTO HIASAN/RTM

PUTRAJAYA, 23 Januari – Caj tapak bazar Ramadan seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diturunkan daripada RM500 sebulan kepada RM400 sebulan, bagi meringankan kos penjaja kecil.

RINGKASAN BERITA AI
  • DBKL turunkan caj tapak bazar Ramadan daripada RM500 kepada RM400 sebulan bagi meringankan kos penjaja kecil.
  • Model pengurusan hybrid dipulihkan: sebahagian tapak diurus DBKL, sebahagian oleh persatuan penjaja.
  • Penguatkuasaan tegas terhadap sublet, jual beli tapak dan ambil untung berlebihan tanpa kompromi.
  • Penjaja dan pengunjung diingatkan jaga kebersihan; SWCorp diberi kuasa penguatkuasaan terhadap pembuangan sampah.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, langkah berkenaan selaras dengan komitmen kerajaan memperkukuh tadbir urus, melindungi kebajikan peniaga kecil serta menjaga kepentingan awam.

“Kadar caj yang sama turut diwajibkan ke atas persatuan penjaja bagi mengelakkan sebarang beban kewangan yang tidak munasabah dikenakan ke atas mereka,” jelasnya dalam satu sesi sidang media di Menara Seri Wilayah, hari ini.

Menurutnya lagi, DBKL telah membuat keputusan untuk kembali kepada model hybrid, iaitu sebahagian tapak akan dikendalikan oleh DBKL dan sebahagian lagi diuruskan oleh persatuan penjaja.

“Tahun lepas bila semuanya diuruskan oleh DBKL, agak berat terhadap tenaga kerja mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh/RTM

“Tetapi tahun ini melalui perkongsian pengurusan dengan persatuan, DBKL boleh juga fokus untuk tindakan penguatkuasaan,” jelasnya.

Beliau juga menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diambil tanpa kompromi sekiranya terdapat salah laku seperti amalan sublet, jual beli tapak atau pengambilan untung berlebihan.

Mengulas isu kebersihan, Hannah turut menekankan para peniaga serta pengunjung agar menjaga kebersihan tapak bazar Ramadan.

“Orang ramai juga diingatkan bahawa SWCorp kini mempunyai kuasa penguatkuasaan, termasuk tindakan terhadap individu yang membuang sampah merata-rata, selain pelaksanaan khidmat komuniti.” katanya.

Menurutnya lagi, penganjuran bazar Ramadan tahun ini melibatkan 9 lokasi petak niaga di bawah seliaan DBKL, manakala 32 lagi petak dikendalikan oleh persatuan penjaja.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan