PUTRAJAYA, 28 Ogos- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memeriksa beberapa lurang kumbahan bagi memastikan insiden tersebut tidak berulang.
Perkara itu susulan kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara tersebut dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutan) Dr. Zaliha Mustafa dalam Mesyuarat Pasca Kabinet di sini.
"Pusat pemprosesan kumbahan di Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam, Fasiliti Pantai 212 Sedang diuruskan pihak IWK dan pihak bomba.
"...berita mengenai mangsa masih belum diterima. Berkenaan tempoh mencari dan menyelamat (SAR) belum diputuskan. Selagi ia tidak diumumkan, maka ia akan diteruskan," katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu misi pencarian mangsa tanah jerlus Jalan Masjid India memasuki hari ke-6 dan laluan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan susulan mendapan tanah dikesan berlaku berdekatan lokasi insiden.
Dalam perkembangan lain, berkenaan kejadian longkang runtuh di Jalan Pantai Permai, Fahmi dimaklumkan ia adalah akibat penyelenggaraan saliran kawasan berkenaan.
Bagaimanapun DBKL sudah mengambil tindakan mengenai kejadian itu.