KUALA LUMPUR, 17 April- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diberi tempoh empat bulan, sehingga Ogos melaksanakan pemutihan menyeluruh peniaga tidak berlesen di ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata perkara itu untuk menangani isu penjaja tanpa lesen selain merupakan pendekatan baharu bawah inisiatif Lestari Niaga.
Menerusinya, lesen diberikan kepada penjaja berdasarkan keperluan perniagaan dan bukan secara bebas seperti skim sebelum ini.
"Sebab yang ini kita bagi lesen kepada mereka mengikut keperluan mereka ,jadi kalau lesen bebas meniaga tu dia ambil lesen dan mereka boleh pergi ke mana sahaja.
"Tetapi yang ini kita kena ada peraturan yang jelas, seperti di mana lokasi mereka boleh berniaga, jenis perniagaan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Semarak Aidilfitri di Dataran DBKL di ibu negara.
Dalam pada itu, Zaliha memaklumkan pihaknya tidak mempunyai jumlah peniaga tidak berlesen namun langkah pemutihan itu dapat memberikan data dan pemetaan dalam isu itu.
Bagaimanapun, seseorang penjaja yang mendapat lesen mereka perlu mematuhi peraturan dan tidak bermakna mereka bebas berniaga di mana-mana kawasan hingga membahayakan keselamatan orang lain.
Ketika mengulas mengenai trend trak makanan dan gerai kaki lima, Zaliha memaklumkan pihaknya akan memperhalusi prosedur seperti mewartakan sesuatu kawasan untuk tujuan berniaga atau membenarkan operasi pada waktu-waktu tertentu.
Namun, beliau meminta para peniaga dan orang ramai untuk menjaga adab dan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa ketika menjalankan tugas.