PUTRAJAYA, 4 Julai - Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dilantik menjalankan kuasa dan tugas Presiden Mahkamah Rayuan bermula semalam sehingga jawatan tersebut diisi secara hakiki.
Datuk Zabariah menggantikan bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersara wajib pada usia 66 tahun semalam.
Lantikan tersebut dinyatakan menerusi surat oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang menjalankan kuasa dan tugas Ketua Hakim Negara ketika ini.
Jelas beliau, pelantikan Datuk Zabariah selaras peruntukan di bawah Seksyen 9 (3) (a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Salinan surat berkenaan turut dihantar kepada Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Datuk Zamri Bakar dan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Jumirah Marjuki.
Datuk Zabariah sebelum ini dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman dan kemudiannya bertugas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Januari 2009.
Beliau disahkan sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada 9 Ogos 2010 dan ditugaskan di Mahkamah Tinggi Seremban pada 2 Januari 2013 sebelum kembali bertugas sebagai hakim Mahkamah Tinggi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2016.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 21 Mac 2016 dan hakim Mahkamah Persekutuan pada 5 Disember 2019.
Pada 10 April lepas beliau sepatutnya bersara setelah mencapai usia 66 tahun, namun menerima lanjutan perkhidmatan selama enam bulan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Presiden Mahkamah Rayuan Malaysia merupakan jawatan kedua tertinggi dalam badan kehakiman Malaysia selepas Ketua Hakim Negara.-BERNAMA