
KUALA LUMPUR, 20 Februari – Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman secara rasminya meninggalkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini selepas berkhidmat selama tiga tahun sejak 13 Januari 2023.
- Suhaimi mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik penamatan perkhidmatan hari ini.
- Beliau berterima kasih kepada warga RTM dan akui cabaran mengekalkan relevansi dalam landskap media berubah.
- Selepas bersara, Suhaimi akan fokus pada konsultasi sepenuh masa, urus perniagaan dan menyiapkan buku kedua.
Beliau mengimbas kad perakam waktu, tepat pukul 4.18 petang tadi sebagai simbolik berakhirnya perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia.
Datuk Suhaimi menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga penyiaran atas sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh kepimpinannya menerajui Jabatan berkenaan.
Beliau bagaimanapun mengakui bukan mudah untuk mengemudi RTM yang berdepan cabaran untuk terus kekal relevan dan dekat dengan penonton serta pendengar dalam landskap media yang pesat berubah.
Namun, optimis warga RTM mempunyai keupayaan untuk meneruskan kecemerlangan organisasi serta terus bekerja secara profesional dan berpasukan.
“Jadi saya rasa semua rakan-rakan saya di RTM telah pun mahir untuk mengemudi RTM menjadi satu jenama yang kukuh kerana yang penting sekali adalah kita kena faham apa yang dimahukan oleh penonton dan pendengar.
“Jadi di situ saya begitu yakin, tak kisahlah sesiapa pun masuk. Tetapi yang paling penting ialah rakan-rakan saya di RTM, mereka mempunyai asas dan teras yang kukuh untuk mengekalkan prestasi tinggi serta mencapai kejayaan pada masa depan,” katanya ketika ditemui media selepas majlis mengimbas kad perakam waktu di Menara Angkasapuri, Kota Media.
Mengakhiri perkhidmatannya, beliau menyifatkan tempoh tiga tahun di RTM sebagai perjalanan yang manis dan membanggakan, selain menegaskan cintanya terhadap RTM akan terus kekal.
Menyentuh perancangan selepas bersara, Datuk Suhaimi memaklumkan akan memberi tumpuan kepada khidmat konsultasi sepenuh masa selain menguruskan perniagaan dan menyiapkan buku keduanya.