fb fb fb fb fb

Datuk Mutang Tagal dilantik yang Dipertua Dewan Negara ke-20

Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal

KUALA LUMPUR, 19 Februari - Bekas Ahli Parlimen Bukit Mas, Datuk Mutang Tagal dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-20.

Beliau dicalonkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Khas Penggal Kedua Parlimen ke-15 Dewan Negara hari ini dan merupakan calon tunggal untuk jawatan tersebut bagi menggantikan Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

"Ini adalah satu pelantikan bersejarah dan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam mengiktiraf dan memastikan suara, pandangan dan perwakilan daripada semua kalangan rakyat termasuk orang Ulu di Parlimen.

"Beliau adalah seorang pengamal undang-undang dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Rakyat selama dua penggal. Sesungguhnya beliau mempunyai pengalaman yang amat luas," kata Anwar.

Cadangan itu disokong Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Mutang menggantikan Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletakkan jawatan, susulan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak pada 26 Januari lalu.

Sementara itu, Datuk Mutang Tagal berkata agenda transformasi Parlimen akan diteruskan demi memartabat kedudukan Dewan Negara.

Beliau berkata, ia termasuk pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen, pindaan pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 selain menambah baik Peraturan Mesyuarat serta pewujudan Kod Etika Ahli Parlimen.

"Perundangan adalah bidang yang dekat di hati saya, maka pengalaman dan pengetahuan saya sebagai pengamal undang-undang akan saya gunakan sebaiknya bagi terus memperkasa dan memartabatkan lagi kedudukan Dewan Negara dan Parlimen Malaysia sebagai Badan Legislatif di Malaysia seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN