fb fb fb fb fb

Datuk Mohamad Hasan berkunjung ke kedutaan Iran, sampaikan ucapan takziah

Foto FB Menteri

KUALA LUMPUR, 22 Mei- Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengunjungi Kedutaan Iran di Malaysia untuk menyampaikan ucapan takziah bagi pihak kerajaan Malaysia atas pemergian Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan Menteri Luar Iran, Dr. Hossein Amirabdollahian yang terbunuh dalam nahas helikopter pada Ahad lepas.

Menerusi hantaran di akaun Facebook, Mohamad menyampaikan ucapan takziah dan rasa duka rakyat kepada Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi atas kehilangan besar dalam dunia kepimpinan Islam dan rakyat republik Islam itu.

Beliau juga menandatangani nota takziah bagi pihak kerajaan Malaysia atas pemergian kedua-dua pemimpin Iran berkenaan.

"Di Kedutaan Republik Islam Iran di Malaysia bagi menandatangani nota takziah bagi pihak kerajaan Malaysia, atas pemergian TYT Seyyed Ebrahim Raisi, Presiden Republik Islam Iran dan TYT Dr. Hossein Amirabdollahian, Menteri Luar Negeri Republik Islam Iran dalam nahas helikopter terhempas tempoh hari."

"Telah saya sampaikan salam takziah dan rasa duka rakyat Malaysia kepada TYT Valiollah Mohammadi Nasrabadi, Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia atas kehilangan besar dalam dunia kepimpinan Islam dan rakyat Republik Islam Iran," kata kenyataan itu.

Dalam nahas pada 19 Mei kira-kira pukul 4.30 petang waktu tempatan, helikopter dinaiki Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan Menteri Luar Hossein Amirabdollahian, melakukan pendaratan kecemasan di Hutan Dizmar Tengah di Wilayah Azerbaijan Timur, semasa dalam penerbangan pulang ke Tehran.

Presiden dan menteri luar termasuk semua penumpang lain di dalam helikopter berkenaan dilapor terkorban dalam nahas itu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM