KUCHING, 23 September - Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata mengadakan lawatan kerja rasmi terakhir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sebelum bersara wajib pada 29 September ini.
Beliau juga menyeru pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya di Sarawak agar terus berkhidmat dengan penuh disiplin serta integriti demi memastikan keperluan masyarakat sentiasa diutamakan.
"Saya berharap semua pegawai serta anggota keluarga besar polis Sarawak akan terus berkhidmat dengan penuh disiplin, berintegriti dan sentiasa mengutamakan kepentingan masyarakat," katanya.
Berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, di sini.
Terdahulu beliau memeriksa perbarisan kawalan kehormat yang dianggotai 55 anggota dan pegawai sebelum beramah mesra dengan anggota dan pegawai di IPD Kuching.
Datuk Mancha Ata turut menyatakan penghargaan atas kerjasama erat, semangat juang serta dedikasi yang telah diberikan pasukan dari IPD Kuching sepanjang perkhidmatannya.
Pada masa sama beliau juga mahu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bergantung kepada pendekatan lama dalam menghadapi cabaran keselamatan semasa selain memastikan keberkesanan tugas serta kesiapsiagaan menghadapi ancaman moden.