TAPAH, 27 Mac- Datuk Bandar Ipoh baharu akan ditentukan tidak lama lagi susulan tempoh perkhidmatan penyandangnya, Datuk Rumaizi Baharin yang bakal tamat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menyambung tempoh perkhidmatan Rumaizi, namun permohonan itu tidak diluluskan.
"Kita sudah menghantar cadangan kepada JPA untuk menyambung perkhidmatan Datuk Bandar, tetapi JPA tidak bersetuju. Tempoh maksimum bagi jawatan ini adalah lima tahun, iaitu 2+2+1 tahun, dan Datuk Rumaizi telah pun menamatkan tempoh tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Siri 2/2025 di Dewan Merdeka di sini hari ini.
Menurut Saarani, kerajaan negeri kini sedang menunggu calon baharu yang akan dilantik bagi mengisi jawatan tersebut termasuk cadangan daripada JPA.
Rumaizi dilantik sebagai Datuk Bandar Ipoh pada 1 April 2020, menggantikan Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim yang ketika itu dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.
Sementara itu, sejak siri pertama HBP tahun ini, sebanyak 138 aduan telah diterima, dengan 118 daripadanya berjaya diselesaikan manakala 20 aduan atau 15 peratus masih dalam tindakan susulan.