fb fb fb fb fb

Data pengguna MySejahtera: kerahsiaan dan keselamatan terjamin, tidak boleh dikongsi- Khairy

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 27 Mac- Kerahsiaan dan keselamatan data pengguna MySejahtera adalah terjamin.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan, data diselia sepenuhnya Kementerian Kesihatan itu tidak boleh dikongsi dengan mana-mana agensi kerajaan dan swasta.

Tindakan itu selari ketetapan penggunaan dan pengurusan data yang diperuntukkan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Perubatan 1971 dan piawaian antarabangsa.

"Sehubungan itu, data MySejahtera tidak boleh dikongsi oleh KKM dengan mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta.

"Selain itu, transaksi data daripada aplikasi MySejahtera dimuat naik ke jaringan pelayan awan (cloud server network) setiap hari dan hanya boleh diakses untuk kegunaaan aplikasi MySejahtera sahaja.

"KKM berharap orang ramai akan terus menggunakan aplikasi MySejehtera tanpa ragu-ragu. Kerahsiaan data orang ramai adalah terjamin dan KKM akan sentiasa memastikan aspek ini tidak dikompromi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk itu, orang ramai diminta terus menggunakan aplikasi itu tanpa ragu-ragu.

Dalam kenyataan sama, Khairy turut menafikan dakwaan bahawa kerajaan menjual MySejahtera kepada syarikat swasta.

Tegasnya, aplikasi tersebut adalah hak milik kerajaan dan KKM dilantik sebagai pemilik utama bagi tujuan pengurusan kesihatan awam negara, sejak 26 November 2021.

Jelas Khairy lagi, sepanjang tempoh penggunaan aplikasi tersebut dari 27 Mac 2020 hingga 31 Mac 2021, kerajaan tidak pernah membuat sebarang bayaran kepada KPISOFT (M) Sdn. Bhd, syarikat yang membangunkan MySejahtera.

Ini kerana, KPISOFT menawarkan penggunaaan MySejahtera kepada kerajaan selama setahun tanpa sebarang bayaran atas inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

"Perkara ini adalah berdasarkan ketetapan syarikat yang telah menawarkan penggunaaan aplikasi MySejahtera kepada kerajaan untuk tempoh setahun tanpa sebarang bayaran berdasarkan prinsip Corporate Social Responsibility (CSR) syarikat.

"Setelah tamat tempoh CSR tersebut, kerajaan pada 31 Mac 2021, bersetuju supaya perkhidmatan MySejahtera diteruskan. Aplikasi MySejahtera diguna pakai kerana keteguhan dan keupayaan dinamik teknologinya

"Sehubungan itu, kerajaan meneruskan kerjasama dengan pihak syarikat dalam melaksanakan peningkatan fungsi MySejahtera sehingga apa yang digunakan pada hari ini," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Khairy berkata keputusan kerajaan pada 26 November 2021 turut menetapkan supaya KKM menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Harga dengan keahlian yang terdiri daripada agensi pemegang taruh berkaitan.

Ia bagi melaksanakan rundingan harga perolehan dan pengurusan perkhidmatan aplikasi MySejahtera dengan pihak syarikat untuk tempoh dua tahun, selaras dengan tatacara perolehan kerajaan.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan melakukan penjualan aplikasi MySejahtera kepada sebuah syarikat swasta, seperti dilaporkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Dalam laporan itu, keputusan penjualan tersebut dibuat oleh Kabinet pada 26 November 2021 serta membenarkan KKM melantik MySJ Sdn. Bhd. melalui mekanisme rundingan terus untuk mengambil alih aplikasi MySejahtera.


(GAMBAR FAIL)

Media Baharu