fb fb fb fb fb

Dasar wajibkan pendidikan hingga sekolah menengah, syor sedang dilaksana - Fadhlina

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 21 Mac - Cadangan melanjutkan dasar pendidikan wajib hingga ke peringkat sekolah menengah sedang dilaksana.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata perkara itu akan dibentang pada Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat bagi mendapatkan kelulusan dasar.

Beliau berkata, ia perlu dibuat sebelum draf Rang Undang-undang Pendidikan melibatkan pindaan terhadap Akta Pendidikan 1996 digubal dan dimuktamadkan.

"Cadangan ini dalam proses mendapatkan ulasan daripada kementerian-kementerian lain yang berkaitan. Selepas proses itu selesai, dasar tersebut akan dibawa ke Dewan Rakyat," katanya di Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr R. Nelson yang ingin tahu status terkini dasar mewajibkan pengajian sekolah menengah dalam negara dan sasaran pelaksanaan sepenuhnya bagi mengelakkan keciciran pelajar sekolah rendah.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan untuk mengembalikan permulaan sesi akademik persekolahan kepada setiap Januari bermula 2026.

"Sesi pembukaan sekolah yang bermula pada Mac (pada masa ini) akan kita kembalikan kepada Januari (bermula) 2026, ini komitmen penting untuk kembalikan sesi akademik (prapandemik). Insya-Allah pada Januari 2026," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN