TOKYO, 19 Februari - Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional(TVET) Negara dijangka dibentang di Kabinet pada Mac sebelum dilancarkan Jun ini sempena Hari TVET Negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia akan menjadi garis panduan program TVET di seluruh negara, selain bersesuaian dan memenuhi keperluan industri.
"Kerangka utama tersebut telah tersedia dan pihak Sekretariat TVET sedang mengemas kini semua maklumat terkini. Juga telah mengedarkan Dasar TVET Negara ini ke 12 Kementerian, Jabatan Peguam Negara dan beberapa agensi lain untuk mendapatkan pandangan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Institut Teknologi Nasional, Kolej Tokyo (Tokyo KOSEN), di sini.
Tambah Ahmad Zahid, Malaysia ketika ini mempunyai 1,345 institusi TVET, dengan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 92.5 peratus.
Beliau berkata, dasar ini digubal bagi meningkatkan kebolehpasaran serta daya saing tenaga kerja di samping meletakkan asas untuk pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara yang mampan.
Sementara itu, dalam menterjemah Dasar Pandang Ke Timur 2.0, Ahmad Zahid berkata kerajaan akan menghantar pelajar pengajian TVET ke China, selain Jepun dan Korea Selatan.
"Selain Jepun dan Korea saya yakin hasrat Perdana Menteri adalah untuk melihat penghantaran pelajar-pelajar daripada Malaysia ke China juga untuk mempelajari beberapa bidang ilmu yang berteknologi tinggi.
"Dasar Pandang Ke Timur 1.0 tidak memasukkan negara china sedangkan negara china sama terlebih dahulu kalau tidak pun lebih daripada negara Jepun dan Korea sendiri," katanya.