fb fb fb fb fb

Dasar TVET: MEF, FMM digesa kaji semula aspek penggajian pekerja - Zahid

Foto FB TPM

BEIJING, 30 Mei- Satu kajian baharu perlu dilakukan Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) sebelum Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara yang pertama dilancar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bulan depan.

Langkah itu menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi penting bagi menilai kembali produktiviti pekerja mahir dan tidak mahir termasuk melibatkan isu pemberian gaji minimum berdasarkan kemahiran tinggi yang dimiliki pekerja.

Katanya, Dasar TVET mempunyai matlamat penting bagi menyediakan tenaga kerja berketerampilan untuk keperluan pasaran tenaga negara dalam bidang teknologi baharu.

Pelan hala tuju hingga 2050 itu sangat komprehensif kerana bukan hanya menyelaras 1,345 institusi TVET, tetapi turut membabitkan penyediaan dan pengukuhan kursus berasaskan teknologi tinggi.

"Saya harap satu kajian baharu dibuat oleh MEF dan FMM kerana keperluan mereka ialah produktiviti. Untuk memperolehi produktiviti, memerlukan pekerja mahir. Pekerja-pekerja tidak mahir mereka diberi gaji minimum dan tentu latihan dalam perlu dibuat, produktiviti belum dapat dijamin."

"Namun, melalui kursus TVET yang telah dijalankan ini, kita telah menyediakan pekerja mahir dan nilai tambah kepada produktiviti dan tenaga kerja dalam pelbagai bidang," kata Dr. Zahid kepada pemberita selepas melawat Beifang Automotive Education Group di Beijing bersempena lawatan rasmi beliau selama 11 hari ke China bermula 22 Mei hingga Sabtu ini.

Sebanyak 220 syarikat di seluruh China telah menawarkan latihan TVET dalam pelbagai bidang kepada belia Malaysia antaranya automatif yang memfokuskan kepada industri EV, robotik, IoT, AI dan kereta berkuasa hidrogen.

Beliau mengulas mengenai kajian MEF sebelum ini yang mendedahkan syarikat swasta masih 'kurang kesedaran' untuk mengambil pelajar lulusan TVET sebagai tenaga kerja mereka.

Tinjauan Gaji MEF untuk Eksekutif 2023 membabitkan 262 syarikat swasta yang dijalankan baru-baru ini mendapati, hanya 39.6 peratus mengambil lulusan TVET.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM