fb fb fb fb fb

Dasar transformasi digital raih pelaburan sebanyak AS$16.9 bilion

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 18 Oktober- Malaysia berjaya meraih pelaburan berjumlah AS$16.9 bilion untuk tempoh hingga 2038 menerusi dasar transformasi digital.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara berjaya menarik pelaburan masuk daripada syarikat gergasi teknologi dunia AWS, Microsoft, Google dan Oracle.

"Ini mencerminkan tahap keyakinan mereka (pelabur) terhadap potensi Malaysia sebagai pintu masuk bagi prasarana awan serantau.

"Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) disediakan RM10 juta bagi mengadun usaha meningkatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) melalui kerjasama dengan akademik dan industri," katanya ketika pembentangan belanjawan 2025 di Parlimen.

Malaysia turut mengambil langkah berani untuk menjuarai ekonomi digital serantau melalui pengisytiharan penubuhan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN (ASEAN AI Safe) dalam usaha menggembleng kepakaran dan keselamatan AI di negara masing-masing.

Kerajaan turut bercadang perbelanjaan bagi pembelian peralatan ICT, pakej perisian komputer dan fi perundingan diberikan elaun modal dipercepatkan untuk dituntut sepenuhnya dalam tempoh dua tahun ke arah pelaksanaan sepenuhnya e-Invois pada 1 Julai 2025.

Sementara itu bagi merekayasa proses perniagaan ke arah automasi dan mekanisasi erajaan juga bercadang melaksanakan mekanisme levi pelbagai peringkat awal tahun depan.

Perkara itu bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

Bagi meningkatkan kapasiti perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) beralih ke arah pendigitalan, Geran Padanan Digital PMKS dan Geran Digital Penjaja bawah BSN disediakan.

"RM50 juta disediakan sebagai Geran Padanan Digital PMKS dan Geran Digital Penjaja di bawah BSN untuk usahawan tempatan kekal berdaya saing dalam pasaran.

"RM100 juta juga disediakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tempoh lima tahun bagi memperkasa fungsi Pusat NADI di seluruh negara sebagai platform komuniti meningkatkan pendapatan melalui aktiviti keusahawanan dalam talian," katanya.

Dalam pada itu jumlah perdagangan bagi tempoh Januari-September 2024 melonjak 10.2 peratus kepada RM2.14 trilion.

"Kita meraih lebihan dagangan bagi 53 bulan berturut-turut sejak Mei 2020," katanya.

Justeru pemberdayaan PMKS akan terus diperhebat bagi menyokong usahawan tempatan menembusi pasaran eksport.

"RM40 juta juga disediakan bawah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sebagai geran bayaran balik bagi membantu pengeksport Malaysia.

"...mempromosi produk dan perkhidmatan buatan Malaysia di pentas antarabangsa khususnya meneroka pasaran baharu di Afrika, Amerika Latin, Timur Tengah," katanya lagi.

Dalam memacu sektor logistik kerajaan turut bercadang supaya syarikat logistik yang menjalankan aktiviti kompleks logistik pintar diberi elaun cukai pelaburan sebanyak 60 peratus bagi tempoh lima tahun.

"Ini bagi meningkatkan kapasiti industri logistik dengan mengadaptasi teknologi IR4.0.

"Kerajaan turut bersetuju untuk membina dan menaik taraf jalan Lingkaran Pulau Indah dan Pelabuhan Utara Klang, Selangor dengan kos RM107 juta," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI